Platform khas lapor kes buli dilancarkan, maklumat pengadu dirahsiakan – Radzi

0
42
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menerima cenderahati berbentuk lukisan ketika melancar program Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat dan Portal Aduan Buli di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya 14(1), di sini, hari ini.

PUTRAJAYA -Satu platform khas dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membolehkan ibu bapa, orang awam dan murid yang menjadi mangsa buli membuat laporan secara terus kepada kementerian.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, menerusi portal itu, mereka yang menjadi mangsa buli boleh menyampaikan maklumat dianggap sulit tanpa perlu bimbang diketahui oleh rakan atau guru.

“Terdapat tiga saluran yang boleh digunakan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes buli iaitu melalui talian khas aduan buli, e-mel atau aduan SISPAA KPM sedia ada.

“Apabila aduan diterima oleh unit berkaitan, ia akan terus disalurkan kepada pihak negeri dan sekiranya memerlukan penglibatan pihak polis dalam kes tertentu maka kita akan berhubung terus dengan pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancar program Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat dan Portal Aduan Buli di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya 14(1), di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Platform untuk membuat aduan buli

Dalam pada itu, beliau juga memberikan jaminan bahawa maklumat pengadu adalah dirahsiakan.

Bagaimanapun Radzi juga memohon kerjasama semua pihak supaya menyalurkan maklumat lengkap dan tidak menyalahgunakan platform berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai statistik kes buli di sekolah, katanya, sehingga Julai tahun ini sebanyak 122 kes telah disabitkan.

Beliau berkata, pada tahun lalu pula sebanyak 50 kes disabitkan kesalahan, 2020 (122 kes), 2019 (244 kes) dan 2018 (264 kes).

Sementara itu, beliau juga memberi amaran kepada pihak sekolah untuk tidak menyorokkan kes buli yang berlaku di premis masing-masing.

Beliau berkata, ia penting bagi membolehkan pengurusan sekolah memahami masalah yang berlaku dan menyelesaikannya.

“Apabila bercakap mengenai kes buli, apabila kita bercakap mengenai mencuba dadah kita tahu bahawa ia berlaku dan sebab itu kalau kita nak selesaikan masalah.

“Pertama sekali kita kena tahu apa masalah. Kita tidak perlu berselindung. Kita tidak perlu nak sorokkan.

“Sebab itu ketika saya masuk kementerian, jika ada kes buli kita tak pernah sorokkan. Maka kita maklumkan pada pihak sekolah jangan ada sesiapa yang cuba sorokkan kes-kes ini,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here