PM arahkan MARA teruskan projek MARA Digital yang ditutup

0
38
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sesuatu kepada seorang peniaga ketika membuat tinjauan mengejut di MARA Digital Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan supaya MARA untuk meneruskan projek MARA Digital bagi membuka peluang kepada anak muda bumiputera terlibat sebagai usahawan IT yang merupakan trend terkini dan masa depan.

Beliau berkata, sebelum ini selain di Bangunan MARA di sini beberapa pusat MARA Digital telah diwujudkan dan dikenalpasti untuk dibangunkan.

Bagaimanapun, katanya, selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan, MARA Digital telah ditutup dan projek baharu tidak diteruskan.

“MARA Digital sangat dekat dihati saya. Ia diwujudkan bagi membangunkan usahawan bumiputera dalam bidang IT dan gajet sama ada menjual produk, baiki dan lain-lain.

“Beberapa MARA Digital telah diwujudkan seperti di Shah Alam, Kuantan, Ipoh dan beberapa tempat yang telah dikenalpasti seperti di Larkin Johor, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kuching serta Kota Kinabalu.

“Namun, selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan, MARA Digital telah ditutup dan projek baru tidak diteruskan,” katanya.

Terdahulu, beliau membuat tinjauan mengejut di MARA Digital Kuala Lumpur semalam.

Turut bersama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sementara itu, mengulas mengenai maklum balas peniaga di pusat tersebut, katanya, walaupun mereka masih mampu bertahan, beberapa suntikan dana diperlukan untuk memperhebatkan lagi jualan di MARA Digital.

“Alhamdulillah dalam tinjauan peniaga memaklumkan masih mampu untuk meneruskan perniagaan kerana jualan semakin meningkat.

“Cuma memerlukan sokongan dari MARA seperti promosi, bantuan pinjaman, pengurangan kadar sewa dan lain-lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here