PM bincang hubungan dua hala dengan Presiden Iran 

0
11
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Iran, Seyyed Ibrahim Raisi.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Iran, Seyyed Ibrahim Raisi mengenai hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara republik Islam itu.

Menurut Ismail Sabri, Malaysia amat berpuas hati dengan keakraban hubungan antara kedua-dua negara yang telah terjalin sejak 1968.

“Kedua-dua negara sering bersependapat dalam pelbagai isu melibatkan kepentingan umat Islam.
 
“Saya mengharapkan agar hubungan baik ini akan terus diperkukuh pada masa akan datang,“ katanya dalam satu perbualan telefon hari ini.

Tambahnya lagi, Iran adalah antara rakan dagangan penting Malaysia di rantau Asia Barat dengan jumlah dagangan dua hala pada 2021 bernilai RM2.63 bilion (USD0.64 bilion), peningkatan sebanyak 68.2 peratus dibandingkan pada 2020.

“Menyedari rintangan yang sedang dihadapi akibat kekangan daripada sekatan sehala ke atas Iran, Malaysia bersedia membincangkan kaedah dan pendekatan lain bagi memudahcara urusan antara kedua-dua pihak,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf mana-mana sekatan yang berbentuk sehala terhadap mana-mana negara.

“Kerajaan Malaysia hanya akan tertakluk kepada sekatan yang dilaksanakan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia juga mengambil maklum akan pemberhentian operasi Mahan Air ke Kuala Lumpur sejak 13 Ogos 2022 berikutan isu teknikal melibatkan ‘refueling’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Dalam hal ini, pihak-pihak yang berkaitan sedang mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan isu ‘refueling’ dihadapi Mahan Air di KLIA.
 
“Kerajaan Malaysia berharap supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan Mahan Air dapat meneruskan operasinya ke KLIA secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Seyyed Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65 yang bakal disambut esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here