PM nafi terima desakan campur tangan kes Najib

0
18
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menafikan menerima desakan untuk campur tangan dalam kes rayuan akhir SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penafian itu disuarakan Perdana Menteri ketika ditemui selepas menyempurnakan acara penutup Majlis Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan (MOF), di sini, hari ini, memetik laporan BH Online.

“Tiada…tiada (desakan campur tangan),” katanya ringkas kepada media sebelum meninggalkan pekarangan MOF menaiki kenderaan rasminya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan wujud desakan daripada UMNO supaya beliau campur tangan dalam kes rayuan akhir Najib di Mahkamah Persekutuan.

Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan kini dalam prosiding rayuan terakhir bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengadakan pertemuan tergempar dengan ketua bahagian UMNO seluruh negara di ibu pejabat parti itu.

Sebuah media tempatan melaporkan, mesyuarat tergempar antara ketua bahagian UMNO dengan pimpinan tertinggi parti itu gagal mencapai kata sepakat untuk mendesak Perdana Menteri campur tangan dalam kes mahkamah membabitkan Najib.

Laporan memetik sumber dalaman itu berkata, ramai ketua bahagian hadir mesyuarat yang berlangsung di ibu pejabat UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, tidak bersetuju dengan arahan terbabit.

Sementara itu, berhubung pertemuannya dengan beberapa pemimpin utama UMNO di Seri Perdana, malam tadi, Perdana Menteri menjelaskan, ia mengenai persediaan parti ke arah pilihan raya.

“Seperti yang dinyatakan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, di Perak malam tadi, (perjumpaan) mengenai mesyuarat UMNO bahagian, persediaan parti untuk pilihan raya dan memperkukuhkan parti,” katanya.

Ditanya mengenai desakan ketua bahagian UMNO yang mahu supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera, Perdana Menteri sekadar menjawab: “Saya tak tahu, saya tak ada (di situ) semalam.”

Semalam, ketua bahagian UMNO seluruh negara sebulat suara meminta PRU-15 diadakan segera.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, berkata hasrat itu disampaikan dalam pertemuan tergempar antara mereka dengan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perjumpaan tergempar itu diadakan selang dua hari selepas Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan supaya PRU disegerakan atau UMNO dan BN akan tewas, sambil menyifatkan sekarang adalah waktu terbaik ia diadakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here