PM umum berita baik buat penjawat awam

0
19

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri ISmail Sabri mengumumkan beberapa inisiatif baharu bagi menambah baik kesejahteraan dan kebajikan para penjawat awam di seluruh negara.

Antara yang diumumkan termasuk kenaikan gaji tahunan (KGT) tambahan sebanyak RM100 bagi penjawat awam yang berada dalam Gred 11 hingga Gred 56, yang akan dibayar mulai Januari 2023.

“Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada tahun 2023, beliau akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada tahun 2023 adalah sebanyak RM180,” kata Ismail Sabri dalam pengumumannya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan kenaikan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan ‘award’ wang tunai (GCR) daripada 160 ke 180 hari, dan Tambahan Cuti Rehat Khas sebanyak 5 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

Penjawat awam turut akan menikmati perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan cuti tanpa rekod bagi urusan kematian ahli keluarga terdekat, dengan penambahan melibatkan kematian adik-beradik, datuk dan nenek.

“Kerajaan (juga) telah bersetuju menambahbaik Kadar Tetap 3 peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada satu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi berkuat kuasa 1 Januari 2022,” kata Ismail Sabri.

Turut diumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) bagi 2023 yang akan dinikmati oleh penjawat awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700, dan RM350 bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen.

BKK 2023 ini akan diberikan pada Januari 2023.

“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera Kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi Kerajaan.

“Akhir kata, saya menyeru penjawat awam yang bersama saya pada hari ini, sama ada di dalam dewan mahu pun di luar, atau dalam talian untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia,” kata Ismail Sabri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here