Polis cari guru hilangkan diri selepas disyaki rogol murid

0
53

CYBERJAYA – Seorang guru lelaki berusia 33 tahun didapati menghilangkan diri sejak bulan lalu selepas didakwa merogol dua pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Sebauh, Tatau, di Bintulu, Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Fatimah Abdullah berkata, laporan polis berhubung kejadian sudah dibuat dua mangsa berusia 14 tahun itu, masing-masing pada 27 dan 29 Jul.

Tambahnya, susulan laporan terbabit, Kementerian Pendidikan (KPM) bertindak membekukan gaji suspek yang berasal dari Tumpat, Kelantan itu.

Beliau kemudian berkata, kes berkenaan sudah dirujuk kepada Lembaga Tatatertib Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

“Polis masih memburu suspek yang menghilangkan diri sejak kes itu terbongkar bulan lalu dan saya berharap pihak berkuasa lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dapat mengesan suspek.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya menurut laporan Harian Metro hari ini.

Fatimah berkata, pihaknya juga sudah menjalankan tindakan susulan dengan memberikan sistem sokongan terhadap dua pelajar terbabit.

Ia termasuk bantuan perubatan dan khidmat psikologi bagi memastikan kesan kejadian itu tidak menjejaskan tumpuan dua mangsa terhadap pelajaran.

Sementara itu, Ketua Polis Bintulu Batholomew Umpit, dalam satu kenyataan baru-baru ini mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Justeru beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berhubung lokasi suspek diminta supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurikman Hadi di talian 019-3517155.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat juga boleh menghubungi terus talian Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu di talian 086-318304,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here