Prosiding rayuan Najib wajar ditangguh – Peguam

0
38

PUTRAJAYA – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya, ditangguh sehingga siasatan terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali selesai.

Peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik yang berhujah dalam permohonan notis usul bagi memasukkan bukti tambahan berkaitan Mohd Nazlan dalam rayuan akhir kes SRC berkata, prosiding itu wajar ditangguhkan kerana bukti tambahan jelas menunjukkan wujud konflik kepentingan.

Katanya, adalah wajar siasatan terhadap Mohd Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan selesai dijalankan sebelum rayuan akhir didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Mohd Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC International, dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta pada 28 Julai 2020.

Hisyam berkata, wujud bahaya nyata mengenai dakwaan berat sebelah dalam kes itu kerana konflik kepentingan berhubung peranan Mohd Nazlan.

“Mahkamah Persekutuan boleh meminta rekod siasatan dan melihat sendiri keterangan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

“Seperti yang dijelaskan dalam afidavit pemohon (Najib), keterangan tambahan ini mengandungi bukti material yang menunjukkan konflik kepentingan dan berat sebelah membabitkan hakim yang mendengar perbicaraan kes ini (Mohd Nazlan).

“Oleh itu, kami memohon ini (memasukkan bukti tambahan) dibenarkan dan mana-mana perintah yang difikirkan sesuai serta wajar oleh mahkamah ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here