Rafizi dakwa Menteri Tugas-Tugas Khas, isteri terlibat dalam kes penyelewengan dana LCS 

0
66
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan isterinya, Zainab Mohd Salleh terlibat secara langsung dalam kes penyelewengan dana LCS.

Beliau dalam satu kenyataan di Facebook hari ini berkata, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulannya menunjukkan kewujudan syarikat Alizes Marine Limited yang dimiliki oleh seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh.

“Semakan dengan pangkalan data Paradise Papers mengesahkan kewujudan syarikat Alizes Marine Limited yang dimiliki oleh seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh.

“Zainab Mohd Salleh ialah isteri kedua kepada Abdul Latiff Ahmad dan semasa skandal ini berlaku, beliau yang juga Ahli Parlimen Mersing merupakan pemimpin UMNO sebelum menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya 2018 (PRU2018),” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Jelas beliau lagi, antara bentuk penyelewengan yang berlaku melibatkan syarikat itu adalah syarikat-syarikat itu dilantik menjadi juru runding teknikal kepada projek walaupun mereka tiada kepakaran dalam projek berkenaan.

“Mereka menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakan. Sebanyak RM23.37 juta diselewengkan menggunakan kaedah ini di awal pelaksanaan projek sekitar 2011 hingga 2014,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga mendedahkan Alizes Marine juga dilantik sebagai pembekal alat-alat ganti kepada projek LCS.

Lantikan itu juga katanya, berdasarkan maklumat palsu kononnya syarikat itu mempunyai lesen dari kerajaan Perancis untuk menjadi pengeksport global alat gantian pertahanan sedangkan hakikatnya syarikat berkenaan tidak mempunyai lesen itu.

“Projek LCS membayar sekitar RM210 juta bagi alat-alat gantian yang kononnya dibekalkan oleh syarikat Perancis tetapi bayaran diselewengkan ke syarikat-syarikat palsu yang ditubuhkan di Malta dan Labuan,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, semakannya menunjukkan bahawa skim menyeleweng dana awam dari projek LCS itu dibuat selama bertahun-tahun dan dengan penuh perancangan.

“Saya juga boleh mengesahkan bahawa ada pelbagai bentuk kontrak pertahanan lain yang melibatkan Latiff Ahmad dan LCS bukan satu-satunya projek yang melibatkan syarikat-syarikat berkait dengan beliau.

“Ada beberapa projek pertahanan negara yang lain yang turut melibatkan Alizes Marine dan beberapa syarikat lain yang dimiliki dan dikawal oleh dia sendiri (Latiff Ahmad) atau isterinya,” ujar beliau.

Untuk rekod, laporan siasatan dalaman projek LCS juga secara jelas menyebut bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isteri kepada Latiff Ahmad .

Sebagai rekod, Latiff Ahmad adalah Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013 yang mana Menteri Pertahanan ketika itu ialah Datuk Seri Zahid Hamidi, Presiden UMNO sekarang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here