Rayuan gagal, mahkamah perintah Najib jalani hukuman penjara 12 tahun mulai hari ini

0
141

PUTRAJAYA – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjalani hukuman penjara 12 tahun mulai hari ini.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas meneliti bukti, hujahan dan rekod-rekod rayuan, adalah didapati rungutan perayu sepertimana terkandung dalam petisyen rayuan tidak mempunyai merit.

“Mengenai keseluruhan bukti, kami mendapati sabitan ke atas semua tujuh pertuduhan ke atas perayu adalah selamat. Kami juga mendapati hukuman yang dijatuhkan adalah tidak keterlaluan.

“Oleh itu rayuan ini ditolak sebulat suara dan sabitan serta hukuman dikekalkan,” kata beliau.

Semasa memerintahkan Najib untuk menjalani hukuman serta-merta, Tengku Maimun berkata, “Saya keluarkan waran komital.”

Peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik kemudian memohon penangguhan hukuman sementara satu permohonan semakan ke atas keputusan hari ini.

“Permohonan ditolak. Mahkamah ditangguhkan,” Tengku Maimun berkata demikian sebelum meninggalkan mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here