Rayuan Najib: Draf awal penghakiman disahkan bocor

0
56

PUTRAJAYA – Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia mengesahkan draf penghakiman bertulis bertajuk Najib Razak’s SRC Appeal: The Judgement seperti yang disiarkan di sebuah portal didapati bocor.

Bagaimanapun, Pejabat Ketua Pendaftar menerusi satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa ia adalah draf kerja penghakiman yang belum dimuktamadkan lagi, dan telah diubah suai.

“Pejabat ini mengesahkan bahawa draf kerja penghakiman yang telah bocor itu merupakan draf kerja yang belum dimuktamadkan.

“Penghakiman muktamad hanya disampaikan di Mahkamah Terbuka pada lebih kurang jam 4 petang pada tarikh yang sama,” kata kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal menyiarkan penghakiman bertulis setebal 15 muka surat bertarikh 26 Ogos berhubung keputusan rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan kes menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Jelas Pejabat Ketua Pendaftar lagi, perbuatan tersebut merupakan suatu tindakan sengaja untuk menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan.

Kata pejabat itu lagi, badan kehakiman tidak akan diganggu gugat oleh perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara.

Dalam pada itu, pihaknya telah memulakan penyiasatan dalaman dan membuat laporan polis bagi menyiasat kebocoran draf penghakiman.

Siang tadi, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas Menteri Kewangan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here