Remaja putus kaki dalam kemalangan belum tahu ibu sudah meninggal dunia

0
42
Kemalangan yang berlaku pada 14 Julai lalu itu melibatkan lapan buah kenderaan dan 21 buah basikal.

PASIR PUTEH – Remaja lelaki yang putus kaki kirinya selepas dihempap muatan besi dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Kampung Dalam Kemunting di sini bulan lalu, masih belum mengetahui ibunya sudah meninggal dunia meskipun sudah tiga minggu kejadian itu berlaku.

Laporan portal Kosmo menyebut, perkara itu dirahsiakan daripada pengetahuannya oleh datuknya, Abdul Hamid Md. Ali

Kata Abdul Hamid,65, dia terpaksa merahsiakan kematian allahyarham Yusni Abdul Hamid,32, pada 14 Julai lalu daripada cucu, Mohamad Shahrul Rizal Mohd. Azizi, 12, kerana tidak mahu emosinya terganggu ketika masih dalam rawatan.

Ketika ini, Mohd. Shahrul Rizal masih menjalani rawatan di di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Selepas mendengar nasihat doktor dan ahli keluarga terdekat, saya terpaksa merahsiakan kematian ibunya kerana dia memerlukan masa yang panjang untuk proses rawatan rapi di hospital.

“Saya akan memaklumkan perkara itu pada waktu yang sesuai apabila keadaan kaki kirinya yang sudah dipotong termasuk proses rawatan rahang dan gusinya selesai dijalankan.

“Buat masa ini, saya memberitahu ibunya kembali ke Pulau Pinang untuk bekerja di kilang tempat kerja lamanya selepas tempoh cuti tamat,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Kemalangan yang berlaku pada 14 Julai lalu itu melibatkan lapan buah kenderaan termasuk sebuah treler yang membawa muatan besi, dan 21 buah basikal.

Abdul Hamid ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nora Yaacob yang menyerahkan cek faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 dan pencen penakat berjumlah RM480 sebulan kepada Mohamad Shahrul dan dua adiknya berusia 11 dan 6 tahun di rumahnya di Kampung Gong Kala di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here