Salah siapa bila Malakat Mall kosong?

0
816
Suasana di dalam Malakat Mall

SAYA kaget bila muncul video tiktok Aqlan Rosli mengenai Malakat Mall. Rasa malu memang ada sebab kedai buku Iqra Read terletak di tingkat satu Malakat Mall. Memang betul Malakat Mall selalu kosong termasuk pada hujung minggu. Tapi bila ada event, Malakat Mall penuh dengan pengunjung.

Tapi Malakat Grocer sentiasa ada pelanggan. Pasar Basah Cyberjaya di dalam grocer itu dah ramai pengunjung tetap. Nak kenal pengunjung tetap ini mudah aje. Mereka masuk, capai troli dan terus ke bahagian sayur, kemudian ke bahagian pasar basah sebelum ke bahagian barangan kering untuk beli biskut, tepung dan gula.

Dah ramai di kalangan para pengunjung ini yang bayar dengan mengimbas Malakat Pay; siap beri nombor keahlian untuk kumpul poin. Maknanya, mereka pelanggan tetap kerana yakin dengan Malakat Mall. Selepas mereka keluar grocer, mereka terus menuju ke kafe Tea Amo untuk pesan nasi lemak atau roti canai. Lepas makan, mereka balik.

Inilah pelanggan tegar. Mereka datang, beli dan balik. Esok mereka datang lagi. Mereka ini pelanggan dari Cyberjaya, Putrajaya, Puchong, Dengkil dan kawasan berdekatan. Namun, ramai juga pelanggan yang datang dari luar Cyberjaya. Mereka datang sejauh Seremban atau Gombak.

Saya biasa bertemu mereka yang datang ke Iqra Read. Mereka kata, mereka datang sebulan sekali semata-mata untuk membeli-belah dan memberi sokongan kepada Malakat Mall. Mereka bukan sahaja pelanggan tetapi penyokong perjuangan.

Sebenarnya konsep berjuang dalam perniagaan ini tidak banyak disebutkan oleh mana-mana bisnes ke hadapan khalayak. Banyak perniagaan yang hanya memotivasi para pekerja mereka sahaja sebagai amalan dan etika dalaman syarikat.

Norden Mohamed

Tapi kumpulan Malakat Eco yang kendalikan Malakat Mall ini melihat perjuangan meningkatkan ekonomi juga melibatkan para pelanggan. Pelanggan membeli di Malakat Mall sambil menyumbang meningkatkan ekonomi usahawan Muslim.

Setiap sen yang dibelanjakan itu menambah pendapatan Malakat Mall. Malakat Mall membahagi keuntungannya kepada pengedar dan pengedar pula membayar kepada pengeluar. Inilah ekosistem ekonomi yang turut melibatkan pelanggan sebagai penyumbang di hilir ekonomi.

Sebab itu dalam kepenggunaan, pelanggan itu turut mempunyai hak kerana sebenarnya golongan pelangganlah yang turut membiayai kos dalam rangkaian ekosistem ekonomi itu sendiri. Kerana itulah Malakat Mall menjadikan tagline, ‘Mall Ini Milik Anda! Ia bukan slogan yang dicipta saja-saja untuk bikin gempak!

Ayam segar yang dijual di Malakat Grocer, Malakat Mall

Bagi kami di Malakat Eco, hasrat yang lebih besar lagi ialah mencontohi langkah Rasulullah saw. Baginda bina pasar Madinah selepas membina masjid. Baginda bersaing dan melumpuhkan pasar Yahudi yang jual barang mahal, cekik penjual di dalam pasar mereka dan menipu timbangan.

Ini juga yang buat kami buat derk aje walaupun beroperasi dengan mall yang kosong. Kami tak salahkan sesiapa jika tidak mahu ke Malakat Mall kerana jauh, kerana rasa barangannya berharga mahal (kami sentiasa menjaga kesetandingan harga dengan mall lain) atau kerana tak banyak pilihan.

Kami tahu Allah saw sedang memerhati kerana aa Maha Melihat. Dia Maha Mendengar apa yang kami bisikan dalam lafaz doa kami setiap kali setelah selesai solat berjemaah di tengah-tengah mall itu.

Walaupun ada orang kata, Malakat ini tunggang agama, kami percaya mereka belum faham dengan pendekatan kami. Agama itu kenderaan untuk ke dunia yang satu lagi. Ia patut jadi tunggangan. Tak mungkin kami nak tunggang jin dan syaitan hembus itu ini supaya orang datang ke Malakat Mall!

Lagi pun, kalau betul kami tunggang agama seperti mana anggapan sesetengah orang, dah tentu kami berjaya kerana memanipulasi agama untuk buat untung dalam bisnes. Tapi kami didepankan dengan kesusahan dan kepayahan. Dalam keadaan sebegini pun, istiqamah kami kepada-NYA tetap kental. Susah dan senang pun, agama tetap menjadi tunggangan atau kenderaan kami.

Kami sentiasa ingat pada Allah, rezeki dari-NYA dan ketentuan-NYA. Insya-allah Dia akan anugerahkan pemberian-NYA setelah menguji kami sehebat ini.

“Sungguh menakjubkan perilaku orang Mukmin. Semua keadaan adalah baik baginya. Jika memperoleh kesenangan dia bersyukur, dan yang demikian itu adalah baik baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, dan yang demikian itu adalah baik baginya. Perilaku seperti itu hanya ada pada diri seorang Mukmin.” (HR. Muslim).

Oleh Norden Mohamed, Penulis dan Usahawan Iqra Read

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here