Sami didakwa cabul doktor mengaku tidak bersalah

0
46
Gambar hiasan.

AYER KEROH – Tindakan seorang sami cuba mencabul seorang doktor yang sedang memberi rawatan kepadanya membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, M Raja Gopal, 52, yang juga orang kurang upaya (OKU) bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap doktor wanita berusia 26 tahun dengan cara menyentuh payu daranya dengan niat mencabul kehormatan mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 7.30 petang pada 12 Mei lalu di Katil No 25, wad A-G Nefrologi Blok A, Hospital Melaka, lapor Astro Awani.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM10,000 dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

Peguam yang mewakili tertuduh, P. Thisharmini, bagaimanapun, memohon mahkamah mengenakan hukuman paling rendah dengan alasan anak guamnya adalah seorang OKU, mempunyai penyakit kencing manis dan angin ahmar.

Tertuduh juga, katanya, sudah berusia 52 tahun dan mempunyai lima orang anak perempuan.

Mohamad Izwan pada penghakimannya kemudian menetapkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh menganggu mangsa dalam apa juga medium dan perlu melapor diri setiap dua minggu di balai polis berhampiran.

Mahkamah turut menetapkan 26 September ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here