‘Saya terkejut dan kecewa’ – Najib

0
52

PUTRAJAYA – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untukmemasukan bukti berkaitan hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Kata Najib, bukti baharu itu penting bagi menunjukkan bahawa kedudukan Mohd. Nazlan dalam Kumpulan Maybank mempunyai konflik kepentingan.

“Saya terkejut dan amat kecewa dengan keputusan hakim yang tidak membenarkan saya mengemukakan keterangan tambahan,” katanya selepas prosiding mahkamah, di sini hari ini.

Awal hari ini, panel lima Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan dalam rayuan terakhirnya untuk membuktikan wujud konflik kepentingan yang berat di pihak hakim Mohd Nazlan Ghazali ketika menghakimi perbicaraan SRC International, dua tahun lalu.

Dalam penghakimannya, Tengku Maimun berkata, permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan tidak memenuhi keperluan undang-undang.

Tengku Maimun kemudiannya turut menolak tawaran peguam Najib untuk menangguhkan perbicaraan selama ‘tiga hingga empat bulan’ kerana pihak pembelaan memerlukan masa untuk menyediakan kes mereka.

Untuk rekod, Hisyam dan kumpulan peguamnya mengambil alih rayuan Najib daripada bekas peguam Shafee Abdullah bulan lepas.

Mahkamah turut memutuskan bahawa prosiding rayuan Najib akan diteruskan seperti dijadualkan pada pagi Khamis (18 Ogos).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here