Saya tidak terbeban walaupun tanpa timbalan – Perdana Menteri

0
18
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan empat jawatan Menteri Kanan yang ada telah memadai dan tidak ada keperluan untuk lantikan timbalan perdana menteri buat masa ini.

Malah beliau berkata, jawatan itu berperanan dan mendapat keistimewaan menyamai timbalan perdana menteri.

“Itu (lantik Timbalan Perdana Menteri) biarlah dulu. Setakat hari ini, seperti kita tahu saya sudah ada empat menteri kanan yang membantu saya dan seolah-olah sudah ada empat Timbalan Perdana Menteri yang membantu saya.

“Faedah yang mereka peroleh hampir sama. Ada pengawal pengiring, polis, macam-macamlah. Lebih kurang Timbalan Perdana Menteri juga.

“Jadi setakat ini, tidak membebankan saya tanpa Timbalan Perdana Menteri kerana keempat-empat menteri kanan sudah mewakili parti yang sudah ada,” katanya dalam sidang media sempena setahun pentadbiran beliau.

Menurut Ismail Sabri, PAS yang menjadi sebahagian kerajaan tidak pernah menuntut jawatan menteri kanan.

“Cuma PAS sahaja tidak ada. Kalau tak, PAS pun boleh menuntutlah. Kenapa ada UMNO, ada GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan dua BERSATU. Patutnya satu BERSATU, satu PAS, satu UMNO dan satu GPS.

“PAS tidak pernah timbulkan isu ini. Jadi saya rasa semua orang menerima. Ada sedikit kelebihan dan kekurangan. Tak nak ada isu dan perkara yang boleh jadi isu besar, merosakkan hubungan antara kita, kita selesaikan. Tapi yang cakap banyak itu orang diluar,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai hubungan beliau dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sering dipertikaikan dan dikatakan, beliau menegaskan tidak mempunyai sebarang konflik dengan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Saya dengan presiden ‘ngam’. Presiden dengan saya tidak ada isu. Saya kenal presiden sudah lama, waktu saya sekolah (belajar di universiti) lagi. Presiden dan abang saya pun kawan baik. Dia bersama di Universiti Malaya, rakan sebilik.

“Saya kenal dia sudah lama. Dengan isteri dia lama saya kenal sampai sekarang pun rapat. Jadi, tidak timbul isu. Isu peribadi tidak timbul. Perpecahan dalam UMNO pun tiada.

“Orang luar sahaja yang bercakap soal perpecahan dalam UMNO ini,” katanya dalam temubual bersama media sempena setahun pentadbiran beliau.

Ismail Sabri berkata, pertemuannya dengan lima pemimpin tertinggi dalam UMNO atau ‘top five’ sering diadakan bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan hala tuju parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here