Selepas lebih 10 tahun terbengkalai, Hospital Bera siap dibina dan boleh beroperasi

0
23
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Hospital Bera hari ini.

BERA – Hospital Bera yang sebelum ini terbengkalai lebih 10 tahun siap dibina dan mula beroperasi pada 1 Julai lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hospital berkenaan terbengkalai sejak sekian lama akibat kegagalan kontraktor.

Namun begitu katanya, beliau sempat meninjau perkembangan pembinaan hospital ini pada Oktober tahun lalu yang ketika itu sudah siap 98 peratus.

“Alhamdulillah hospital yang mula dibina pada 2010 ini berjaya juga disiapkan, akhirnya. 

“Saya sebut akhirnya sebab ia (pembinaan) terlalu lama, mungkin paling lama di dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hospital Bera di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar,  Datul Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, individu bertanggungjawab untuk mendapatkan hospital itu adalah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah. 

“Ketika saya mengadap, saya maklumkan kepada almarhum tuanku anak Pahang di Bera ini ramai menjadi anak negeri lain. 

“Saya maklumkan, rakyat yang duduk di sempadan di Gugusan Tembangau,  Orang Asli Pos Iskandar, apabila hendak melahirkan anak, perlu ke Jempol, Negeri Sembilan, hendak ke Temerloh pun jauh mengambil masa sehingga dua jam perjalanan.

“Jadi, untuk melahirkan anak perlu di Jempol dan jadilah anak Negeri Sembilan. Almarhum tuanku maklum ia tidak boleh dibiarkan dan baginda akan melakukan sesuatu dan akhirnya tidak sampai dua bulan selepas itu, ia telah mendapat persetujuan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan Hospital Bera diluluskan oleh kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dengan peruntukan kos sebanyak RM92.5 juta di atas tanah seluas. 13.35 hektar di sini.

“Saya amat berterima kasih kepada agensi Pusat dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang kerana berjaya merealisasikan pembinaan hospital yang dilengkapi dengan  40 buah katil ini.

“Insya-Allah, hospital ini akan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 penduduk di daerah Bera dan sekitarnya bagi mendapat rawatan kesihatan dengan pantas dan selesa.

“Sebelum ini, penduduk setempat yang sakit terpaksa menempuh perjalanan sejauh 32 hingga 52 kilometer di hospital-hospital yang berdekatan seperti Hospital Temerloh dan Hospital Jempol,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, Hospital Bera merupakan Hospital Daerah Tanpa Pakar yang diletakkan di bawah Program Hospital Kluster Pahang Tengah yang diterajui Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh. 

Sehubungan itu katanya, Kementerian Kesihatan akan membina dewan bedah di hospital ini dengan anggaran kos RM9 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here