Sudah banyak yang dilakukan Perdana Menteri – Khaled Nordin

0
23
Khaled Nordin

CYBERJAYA – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin mahu semua pihak memberi ruang kepada Perdana Menteri untuk menguruskan negara dengan cara tersendiri.

Mohamad Khaled dalam hantaran di Facebooknya berkata, pengiktirafan itu penting kerana Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku pengemudi negara kini berdepan dengan cabaran yang hebat khususnya dari segi kos sara hidup.

“Bukan lah mudah untuk Kerajaan memutuskan hampir 80 billion RM dibelanjakan untuk membiayai subsidi pelbagai komoditi dan barangan keperluan rakyat bagi tahun ini.

“Ia hampir sepertiga dari perolehan negara. Jumlah yang sangat besar, ini bermakna kita terpaksa mengorbankan banyak keperluan pembangunan yang sangat diperlukan,” katanya malam tadi.

Menurut Khaled, sejak Ismail Sabri mengambil alih pentadbiran negara, beberapa pembaharuan politik yang radikal juga telah dilaksanakan termasuk menghapuskan AP bagi import bahan makanan.

“Ia adalah langkah sangat berani dan tepat bagi mengatasi segala masalah kecukupan makanan yang kita hadapi,” katanya.

Beliau juga mahu rakyat menghargai kejayaan Ismail Sabri memperbetulkan acuan politik dengan lulusnya RUU Anti Lompat Parti.

“Kejayaan ini sangat istimewa kerana setelah begitu lama, ia boleh diselesaikan dalam hanya setahun pentadbiran beliau.

“Semua ini adalah perkara yang tidak mungkin terjadi tanpa kemahuan politik dan kepimpinan yang fokus,” ujarnya.

Selain itu, Khaled juga menyifatkan Ismail sebagai pemimpin yang telus apabila mahu laporan Jawatankuasa Khas Penyiasatan Tadbir Urus, Perolehan Kerajaan dan Kewangan mengenai perolehan enam kapal LCS di nyah klasifikasikan dan di dedahkan kepada umum.

“Kekadang, amat mudah untuk kita bersikap sinis dengan pemimpin kita. Namun janganlah sehingga menjadikan kita tidak lagi objektif dan gagal bersifat rasional,” katanya.

Sesungguhnya bukanlah mudah mengemudi negara dalam keadaan yang sangat mencabar sebegini. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here