Sultan Selangor hadir beri penghormatan terakhir kepada bekas Menteri Besar Selangor 

0
32
Jenazah bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selamat disemadikan di Makam Diraja Shah Alam petang tadi.

SHAH ALAM – Jenazah bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selamat disemadikan di Makam Diraja Shah Alam kira-kira 2.30 petang tadi. 

Turut hadir Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj yang berkenan berangkat ke makam berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir. 

Jenazah sebelum itu disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam selepas solat zohor dengan dipimpin oleh imam besar masjid tersebut Muhammad Farhan Wijaya dan disertai ratusan jemaah termasuk ahli keluarga dan sahabat handai. 

Turut hadir Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta beberapa ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Parlimen Selangor.

Terdahulu, jenazah menteri besar ke-14 Selangor itu tiba di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara, kira-kira 6 pagi tadi untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

Abdul Khalid dimasukkan ke hospital sejak 23 April yang lalu akibat jangkitan pada injap jantung sebelum disahkan pukul 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Antara jasa beliau kepada negara adalah mengetuai ‘Serangan Subuh’ yang membuatkan Malaysia mendapatkan hak terhadap syarikat Sime Darby, Guthrie dan Harrison and Co di Bursa Saham London pada tanun 1981.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here