Suspek lelaki letak vape di mulut bayi ditahan

0
33

CYBERJAYA – Polis Johor telah menahan seorang lelaki berikutan video tular yang menunjukkan seorang individu meletakkan rokok elektronik vape pada mulut bayi seorang perempuan di sebuah kedai makan dekat Bandar Baru Uda, Johor Bahru, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung video tular itu pada pukul 2.56 petang kelmarin.

Kata Rupiah, laporan itu dibuat oleh ibu kepada bayi perempuan berusia tujuh bulan itu, dan susulan laporan, polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai kenalan kepada ibu saudara bayi itu pada pukul 12.45 tengah hari tadi.

“Suspek yang juga seorang peniaga ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Johor Bahru Utara (JBU). Polis akan memohon reman di mahkamah, esok,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Rupiah berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ibu bayi berkenaan memaklumkan pada hari kejadian, dia dan anaknya itu berada di kedai makan terbabit bersama adik perempuannya dan suspek lelaki yang juga kenalan adiknya.

“Pengadu memaklumkan, suspek memangku bayi itu dan secara tiba-tiba dengan niat bergurau meletakkan vape yang tidak berfungsi di mulut bayi berkenaan.

“Kejadian itu dirakam adik perempuan pengadu sebelum rakaman itu dimuat naik oleh adiknya di laman media sosial, sekali gus menjadi tular. Video itu kemudian mendapat kecaman masyarakat di media sosial,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here