Takwim persekolahan 2023 kekal pada bulan Mac – Menteri Pendidikan 

0
23
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

KAJANG – Takwim persekolahan 2023 yang dijadualkan bermula pada bulan Mac kekal selepas Kementerian Pendidikan mengambil kira pelbagai faktor.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, pelbagai faktor diambil kira dalam penyediaan takwim persekolahan termasuk kebarangkalian banjir di negeri-negeri Pantai Timur.

Tambahnya lagi, sela masa yang panjang selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelajar melanjutkan pelajaran juga perlu diambil kira.  

“Bulan lain pun ada banjir juga, kita tak nafikan tapi secara umumnya kita tahu di musim monsun kemungkinan berlaku banjir itu tinggi.

“Kita lihat dalam konteks pengurusan peperiksaan antara cabaran paling besar dihadapi Lembaga Peperiksaan adalah untuk menguruskan SPM sewaktu banjir, kadang-kadang menimbulkan banyak perkara teknikal dan menyukarkan pelaksanaan peperiksaan,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian selepas sesi Slot Khas Tanya DRJ semasa Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat di sini, semalam.

Selain itu, beliau berkata, dengan pelaksanaan takwim sedia ada, sela masa bagi calon SPM yang telah menduduki peperiksaan tidak terlalu panjang seterusnya momentum pembelajaran pada pelajar berkenaan dapat dikekalkan. 

Sementara itu, Radzi berkata semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu berusaha menukar persepsi masyarakat, pentadbir sekolah dan guru yang melihatnya sebagai “kumpulan datang ke sekolah untuk mencari kesalahan” walaupun situasi itu tidak berlaku.

Ujarnya lagi, pihak PPD perlu turun ke sekolah untuk mendekati dan memahami masalah dihadapi guru-guru dan pentadbir seterusnya mengemukakan isu berkenaan kepada pihak atasan agar Kementerian Pendidikan dapat meneliti pendekatan yang boleh dilaksanakan.

“Kita tekankan juga bahawa PPD ini mesti sentiasa terbuka kepada masyarakat sebab itu minggu ini PPD di seluruh negara boleh pilih satu atau dua hari di hujung minggu untuk melaksanakan Hari Terbuka PPD.

“Semua pihak yang ingin berurusan dengan PPD boleh datang, kerana kita ingin menghantar mesej bahawa PPD sentiasa terbuka, apa yang paling penting untuk kita lihat bahawa pendidikan ini sama ada di peringkat Jabatan Pendidikan dan PPD sentiasa cakna dengan apa yang berlaku di bawah sana,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here