Tekup muka kekasih hingga mati, seorang remaja 19 tahun ditahan polis

0
297
Seorang remaja lelaki ditahan selepas dipercayai membunuh seorang wanita dengan menekup muka mangsa hingga mati.

KLANG – Pihak polis menahan seorang remaja lelaki selepas dipercayai membunuh seorang wanita dengan menekup muka mangsa dengan bantal di sebuah rumah di Kampung Pandan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, remaja berusia 19 tahun itu ditahan di tepi jalan berdekatan lokasi kejadian ketika cuba untuk melarikan diri.

Beliau berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan kenalannya iaitu remaja berkenaan meminta bantuan untuk mengambilnya di Kampung Pandan kerana dia sudah menekup muka mangsa menggunakan bantal sehingga tidak sedarkan diri.

“Pihak polis kemudian ke lokasi tempat kejadian dan menemui mangsa iaitu seorang wanita berusia 24 tahun dalam keadaan terbaring di atas katil di sebuah bilik rumah berkenaan.

“Pemeriksaan pada badan mangsa tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

“Bertindak atas maklumat pada 9.20 malam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menahan suspek warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes ini berdekatan lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gambar mangsa, Allahyarham Nurul Shahiera Abdullah yang tular di media sosial.

Dalam pada itu, katanya, berdasarkan rekod suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa ingin memutuskan hubungan dengannya.

Beliau berkata, ketika tangkapan dibuat, polis merampas pakaian yang digunakan oleh suspek semasa kejadian.

Katanya, Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sudah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan dan akan melengkapkan siasatan dalam tempoh masa yang terdekat,” katanya.

Cha berkata, suspek kini direman tujuh hari sehingga 31 Ogos ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here