Tiada lagi penangguhan, kes diteruskan pada minggu hadapan – Ketua Hakim Negara 

0
41
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mengulangi pendiriannya untuk tidak menangguhkan kes penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd yang membabitkan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.

Mahkamah Persekutuan akan meneruskan pendengaran rayuan akhir kes itu seperti yang dijadualkan pada minggu hadapan.

“Kita akan meneruskan seperti dijadual dan anda (peguam Hisyam Teh Poh Teik) kekal sebagai peguam,” kata Maimun selepas Hisyam memohon penangguhan pendengaran pada Selasa dan Rabu depan (21 dan 22 Ogos).

Permohonan itu dibuat di tengah-tengah pendengaran ketika Pendakwa ad hoc, V Sithambaram, berhujah bagi pihak pendakwaan.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan selama 10 hari – 15 hingga 26 Ogos – bagi mendengar rayuan akhir Najib.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan pada Khamis menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada mewakili Najib dalam prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Kata Hisyam, beliau memerlukan masa untuk meneliti dokumen sebelum membela anak guamnya dalam prosiding rayuan itu.

Tambahnya lagi, sekiranya diberikan waktu yang munasabah seperti diminta, beliau akan kembali dan berhujah satu persatu terhadap pendakwaan.

Pada Julai 2020, Najib disabitkan dengan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC International berjumlah RM42 juta. Sabitan beliau dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021.

Mahkamah Rayuan juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here