Tiga pemilik syarikat didenda RM50,000 palsukan penyata bank

0
24
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Gara-gara memalsukan penyata akaun bank syarikat untuk mendapatkan tender pembersihan awam, tiga pemilik syarikat didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Selain denda, mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga mereka dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu ke atas Azlan Abd Hashim, 48, Nahairizaki Mohd Zin, 42, dan Wan Helmi Wan Darus, 49.

Hakim berkata, hukuman itu diputuskan dengan mengambil kira kepentingan awam supaya dapat memberikan pengajaran kepada masyarakat supaya tidak berlaku lagi dalam permohonan tender lain, lapor Harian Metro.

Ketiga-tiga pemilik syarikat itu dituduh menggunakan dokumen penyata akaun bank syarikat bagi Oktober hingga Disember 2018 sebagai tulen dalam permohonan tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Azlan, Nahairizaki dan Wan Helmi dituduh melakukan perbuatan itu di Wisma Idaman Sdn Bhd, Lot 163&164, Jalan BSG 4, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Bandar Stargate di sini, masing-masing pada 19 Januari 2019, 18 Januari 2019 dan 22 Januari 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rehab Abdul Shukur manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here