Tukang cuci Masjid Negara fasih 4 bahasa, kongsi tip senang menghafal 

0
21
Tular satu video memaparkan tukang cuci yang bertugas sebagai pencuci di Masjid Negara sedang berinteraksi dengan pelawat dalam bahasa Jepun baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sekali pandang nampak seperti tukang cuci biasa namun wanita kelahiran Minangkabau, Sumatera, Indonesia ini mempunyai empat lesen bahasa yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sendiri.

Nirmaningsih Mawi, 59, yang berhijrah ke Malaysia bersama keluarganya sejak berusia tiga tahun berkata, minat mendalam khususnya dalam bahasa Jepun yang membuatkan beliau berusaha mencari jalan untuk mengambil kursus bahasa.

Katanya beliau memperoleh empat lesen bahasa yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), iaitu bahasa Inggeris pada 1990, bahasa Jepun pada 1994, Arab (2010) dan Jerman (2011).

“Mengikuti kursus intensif bahasa Jepun adalah kenangan terindah dan pada masa sama menuntut pengorbanan yang besar kerana saya baru melahirkan anak pertama.

“Saya masih ingat pada 1992, ada terbaca iklan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai tawaran tajaan itu di akhbar Berita Harian dan disebabkan minat, saya hantar borang permohonan.

“Tak sangka pula dapat panggilan temuduga tetapi saya agak berbelah bahagi kerana anak masih kecil, baru 10 bulan. Jadi selama setahun juga terpaksa berpisah dengan keluarga dan anak, enam bulan ikuti kursus bahasa Jepun di Wisma Belia, Kuala Lumpur dan kemudian dihantar pula ke Tokyo untuk bekerja dengan sebuah syarikat pelancongan di sana bagi memantapkan penguasaan bahasa, selain mempelajari corak kerja mereka.

“Bukan mudah untuk buat lesen ini, komitmen sangat tinggi kerana ada peperiksaan yang perlu dilalui,” katanya ketika ditemui Berita Harian di Masjid Negara, semalam.

Berkongsi pengalaman kerjanya sebelum ini, dia yang pernah berkhidmat sebagai pemandu pelancong selama 30 tahun dan mahir bertutur dalam lima bahasa hilang pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19.

“Saya pernah menganggur selama empat bulan dan disebabkan itu, saya rebut sahaja peluang kerja yang ada,” katanya.

Namun begitu, dengan industri pelancongan yang semakin rancak beliau sudah mula mendapat banyak tawaran untuk menjadi pemandu pelancong sejak bulan lalu selepas fasa endemik Covid-19 diumumkan.

Selain itu, beliau juga sempat berkongsi panduan untuk kekal fasih dalam semua bahasa yang dikuasainya, katanya, jangan sesekali malu dan sentiasa berusaha bercakap dengan individu yang bertutur dalam bahasa itu.

“Lagi satu…tip untuk senang hafal apa pun…ustaz saya ajar praktikkan baca surah Yasin setiap hari, Insya-Allah.

“Inilah yang saya lakukan. Bayangkan dua tahun pelancong luar tak datang Malaysia sebelum ini…jadi bila bertemu mereka misalnya di masjid, saya mesti mulakan bicara. Ini salah satu cara…jika tidak buat memang boleh lupa,” ujarnya lagi.

Terdahulu, tular satu video memaparkan tukang cuci yang bertugas sebagai pencuci di Masjid Negara sedang berinteraksi dengan pelawat dalam bahasa Jepun baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here