Ugut bunuh bekas kekasih, lelaki ditahan polis

0
18

KUALA LUMPUR – Berang dengan tindakan bekas kekasih menuntut hutang seorang lelaki yang melakukan ugutan bunuh menggunakan pisau ditahan polis di Taman Ukay Bistari, di sini, semalam.

Suspek yang merupakan seorang mekanik ditahan selepas mangsa berusia 17 tahun membuat laporan mengenai kejadian yang berlaku pada pukul 12 tengah hari Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dalam satu kenyataan berkata, mangsa yang telah pergi ke rumah suspek mendakwa telah diacukan dua bilah pisau dan cota selepas berlaku pertengkaran.

Katanya, suspek bertindak demikian kerana berang terhadap tindakan mangsa yang menuntut  ganti rugi perbelanjaan sebanyak RM700 ketika menjadi pasangan kekasih.

Namun katanya, semasa di dalam rumah, suspek bertindak kasar dengan menolak mangsa lalu mengacu dua bilah pisau berlainan sebanyak dua kali.

“Suspek juga mengeluarkan kata ugutan bunuh kerana pengadu tidak mahu meneruskan hubungan dengan suspek.

“Suspek juga merampas telefon bimbit dan menghempaskan ke lantai menyebabkan telefon remaja terbabit rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, berikutan laporan dibuat mangsa, sepasukan polis kira-kira pukul 8.30 malam tadi menahan suspek berusia 19 tahun di Taman Ukay Bistari.

Katanya, polis turut merampas sebatang cota, dua pisau dan sebuah telefon bimbit yang digunakan ketika kejadian.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

“Reman terhadap suspek akan dipohon hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here