Ugut Ketua Hakim Negara, polis tahan Apiez Bond

0
130
Ketua Hakim Negara

CYBERJAYA – Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki melakukan ancaman dan ugutan di media sosial terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, suspek berusia 30 rahun itu ditangkap di sebuah rumah di Puchong, Selangor malam semalam.

Beliau berkata, pihak polis menerima laporan susulan ugutan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook “Apiez Bond’.

“Hasil laporan itu, tangkapan telah dibuat jam 11.15 malam semalam.

“Turut dirampas, sebuah telefon bimbit beserta kad sim yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran ugutan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah mengikut Seksyen 4 (1), Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Katanya, pihak polis memandang serius perkara berkenaan dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan isu ketenteraman awam yang boleh menggangu gugat keamanan.

Semalam tular satu tangkap layar daripada satu akaun bernama Apiez Bond yang membuat ancaman dan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara selepas tidak berpuas hati dengan perbicaraan yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes rayuan akhir SRC International.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here