Ujian berat buat keluarga – Anak sulung Najib

0
83
Najib ketika dibawa ke Penjara Kajang semalam selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan 12 tahun penjara ke ataasnya berkenaan kes perbicaraan SRC International Sdn. Bhd.

CYBERJAYA – Anak sulung Datuk Seri Najib Razak menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap bekas Perdana Menteri itu semalam sebagai satu ujian yang berat.

Hantaran Datuk Mohd. Nizar di laman Facebooknya hari ini, menyatakan dukacita keluarganya mengenai keputusan mahkamah itu, namun akan tetap meneruskan usaha membela dan membantu bekas Perdana Menteri berkenaan.

Hantaran Nizar di laman Facebook miliknya, hari ini.

Menurut beliau, bapanya telah mencuba sedaya upaya membela diri di mahkamah namun keputusan jelas dan langsung tidak memihak kepada beliau.

Mohd. Nizar memberitahu, mereka yang mengikuti kes tersebut secara dekat boleh membuat kesimpulan masing-masing.

“Berat ujian dan dugaannya kali ini buat saya dan keluarga. Namun, kita perlu yakin akan ketentuan dan perancangan Allah SWT Yang Maha Esa, Maha Berkuasa,” katanya dalam hantaran tersebut, hari ini.

Mohd. Nizar berkata, semua pihak boleh mengambil iktibar daripada kebangkitan Najib sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Walaupun ketika itu ada yang menganggap ayahanda sudah tidak relevan dan ditinggalkan ramai orang, beliau masih mampu bangkit semula dengan fenomena Bossku serta pergerakan media sosial yang padu.

“Dengan semangat juang yang tinggi ini beliau dapat membantu jentera Barisan Nasional (BN) serta UMNO menang dan menawan semula kerusi mahupun negeri di siri-siri pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN),” jelasnya.

Beliau menambah, semasa mentadbir, Najib dikenali sebagai seorang yang banyak membantu masyarakat umum di semua lapisan tanpa mengira warna kulit dan kaum.

Beliau dan keluarganya turut mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sahabat yang hadir di mahkamah dan yang berdoa serta bersolat hajat dari jauh.

Selain itu, katanya, ramai yang menghantar mesej dorongan dan sokongan melalui saluran WhatsApp dan media sosial.

“Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa baik kalian semua. Saya dan keluarga sudah tentu memerlukan sedikit masa untuk menerima realiti peristiwa sedih ini.

“Sama-samalah kita doakan Ayahanda Najib Razak sentiasa selamat dan di bawah perlindungan Allah SWT,” katanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here