UMNO beri bayangan tidak bekerjasama dengan Pas di Kedah 

0
19
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberikan ucapan sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini. Kredit Foto – Najmi Zulkefle

PUTRAJAYA – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, memberi bayangan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Kedah.

Menurut beliau, sebelum ini UMNO memang bekerjasama dengan parti itu namun berasa kesal selepas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor bahawa UMNO tidak sekuat dulu selain Pas yakin menambah jumlah kerusi dimenangi berbanding pada PRU-14 lalu.

Tambahnya lagi, Muhammad Sanusi sepatutnya berunding dengan UMNO terlebih dahulu berhubung perkara itu dan bukannya membuat kenyataan di media.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang Terap, berkata, tindakan Muhammad Sanusi itu sebenarnya tidak sesuai kerana ia akhirnya akan menimbulkan pertelingkahan serta memburukkan lagi keadaan.

“Setiap parti ada kekuatan masing-masing dan biarlah rakyat yang akan tentukan pada PRU nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 819 kakitangan MARA daripada pelbagai kategori menerima anugerah perkhidmatan cemerlang.

Tedahulu, media melaporkan, Pas Kedah yakin akan memenangi sekurang-kurangnya 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan PRU akan datang dan sedia bekerjasama dengan UMNO jika parti itu berminat.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, pihaknya yakin dapat menambah bilangan kerusi yang boleh dimenangi berbanding 15 pada PRU-14 berdasarkan kedudukan PAS di Kedah yang dilihat semakin kukuh dan kuat.

Muhammad Sanusi berkata, UMNO boleh ‘menumpang’ kekuatan Pas di Kedah jika ia berhasrat untuk bekerjasama di negeri itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here