UMNO dukacita mahkamah tolak permohonan Najib

0
31
Datuk Seri Najib Tun Razak

CYBERJAYA – UMNO berasa amat dukacita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memasukkan bukti tambahan membabitkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun tidak berhasrat untuk mencampuri urusan mahkamah, UMNO memandang berat pendedahan hakim tersebut berkenaan tuduhan penglibatan beliau dalam penubuhan SRC International.

Beliau berkata, ini kerana beliau juga adalah hakim yang menjatuhkan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri itu dalam kes bersabit syarikat yang sama.

“Kedudukan Mohd Nazlan sebagai peguam dan setiausaha Maybank pada tahun 2006 sudah tentu memberikan akses besar kepada beliau dalam isu pentadbiran bank berkenaan.

“Termasuklah bagaimana wang RM42 juta iaitu sebahagian daripada RM140 juta yang dipinjamkan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development boleh dipindahkan ke akaun Najib, yang akhirnya menjadi punca dakwaan ke atas beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, sudah menjadi satu amalan etika am kehakiman di seluruh dunia bahawa mana-mana hakim yang sedang mendengar sesuatu kes yang melibatkan konflik kepentingan perlu mengecualikan diri dalam mendengar kes berkenaan.

“Lebih parah lagi jika ada sebarang cubaan untuk menyembunyikan fakta penglibatan yang terkait dengan konflik berkepentingan sejak dari awal proses penghakiman dijalankan.

“Semua ini sebenarnya boleh menghakis integriti badan kehakiman yang sepatutnya menjadi tunjang kepercayaan mutlak rakyat terhadap benteng utama kedaulatan undang-undang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here