Usain Bolt Malaysia catat 10.09s, pecah rekod 100m kebangsaan

0
91
Muhammad Azeem (tengah) berjaya memperbaharui rekod baharu kebangsaan dengan catatan 10.09 saat.

CALI – Pelari pecut kebangsaan Muhammad Azeem berjaya mencatat rekod baharu 100 meter kebangsaan dengan catatan 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Dunia B20, Cali, Colombia hari ini.

Beliau yang terkenal dengan jolokan Usain Bolt Malaysia mencatat catatan kedua terpantas daripada 60 penyertaan atlet dalam acara 100m di kejohanan itu.

Azeem, 18, yang turun dalam saringan kelapan untuk pusingan pertama layak untuk ke peringkat separuh akhir yang dijadualkan pada pukul 4 pagi esok waktu Malaysia.

Selain Azeem, yang turut layak dalam saringan sama ialah pelari Jepun, Hiroki Yanagita yang mencatat masa 10.24s.

Sementara itu, pelari dari Botswana, Letsile Tebogo menjadi pelari terpantas dalam saringan pusingan pertama hari ini apabila mencatatkan masa 10.00s yang mana ia juga merupakan rekod kejohanan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan Azeem itu.

“Syabas dan tahniah! Pelari pecut kebangsaan Muhammad Azeem Fahmi berjaya mencatat rekod baharu 100m kebangsaan (10.09 saat) pada Kejohanan Olahraga Dunia B20 di Colombia,” katanya dalam satu hantaran dalam laman sosial miliknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here