Video tular TikTok bukti masih ramai yang prihatin

0
54
Tangkap layar video TikTok AqlanRosli yang menunjukkan keadaan ‘kosong’ Malakat Mall baru-baru ini.

CYBERJAYA – Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim mengucapkan terima kasih kepada pemilik akaun TikTok yang menjadikan video pusat beli-belah itu tular baru-baru ini.

Beliau berkata, video oleh AqlanRosli_ yang mendapat lebih 450,000 tontonan dan 1,800 komen itu membuktikan rakyat negara ini masih peka dan prihatin terhadap perkembangan semasa Malakat Mall.

Katanya, sebagai pusat perniagaan milik orang Islam, Malakat Mall mendapat sambutan yang cukup hebat pada peringkat awal pembukaannya namun usaha itu ‘terbantut’ sebaik sahaja penularan Covid-19.

“Semasa pembukaan Malakat Mall dianggarkan lebih 6,000 pengunjung hadir tetapi momentum itu ‘dimatikan’ selepas hari ke 4 apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan.

“Kami mulakan dengan modal, dan resources yang cukup tetapi PKP berpanjangan mengurangkan semua dana kami,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mohd Fadzil Hashim

Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, sebagai usaha merancakkan semula perniagaan di Malakat Mall, pihaknya kini sedang melancarkan Program Transformasi Malakat.

Antaranya adalah usaha menjadikan Malakat Mall sebagai pusat penjualan barang-barang yang dibawa masuk dari negara Turkiye.

Usaha itu katanya akan terlaksana sebaik sahaja produk-produk yang dibawa masuk melalui 10 buah kontena tiba tidak lama lagi.

Malakat Mall yang dikenali sebagai tempat mendapatkan daging halal dan segar (disembelih setiap hari) juga akan melebarkan segmen itu dengan pelancaran Pasar Basah Cyberjaya.

Sementara itu, sebuah lagi premis dibuka untuk menjadi pusat usahawan dan pelajar berkumpul, berbincang, menggunakan kemudahan dan alamat premis untuk tujuan perniagaan.

Premis yang dinamakan PULUN 24 ini dibuka 24 jam setiap hari.

Selain itu, Mohd Fadzil berkata pihaknya juga akan melancarkan Kempen Duta Malakat yang menyasarkan pendapatan sampingan RM1,000 sebulan kepada semua ahli melalui kempen berbelanja di Malakat Mall.

“Kita juga akan buka Klinik Keluarga Malakat PERCUMA kepada ahli yang mencapai pembelian minima tahunan!

“Doakan Malakat Mall mampu bangkit! Laksanakan tugas Anda sebagai Saudara yang menyintai! Tegur kesilapan Kami! Bantu Kami untuk Bantu Ummah!,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here