Walau dipenjara Najib akan terus buat hantaran di media sosial 

0
39
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR – Meskipun sedang menghadapi hukuman penjara, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih tetap bersemangat untuk mengulas isu semasa menerusi media sosial.

Dalam satu hantaran yang pertama sejak menjalani hukuman tersebut, Najib berkongsi keadaannya di Penjara Kajang.

Najib berkata, anaknya, Nooryana Najwa Najib, memberitahu ramai yang bertanya akan keadaannya.

“Gina beritahu saya ramai yang bertanya khabar dan keadaan saya. Buat masa ini saya dalam keadaan sihat, baik, tenang. Alhamdulillah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, dapat berjumpa peguam dan keluarganya mengikut masa yang dibenarkan.

“Saya berpeluang berjumpa peguam dan keluarga saya mengikut masa yang dibenarkan.Bertanya juga mengenai perkembangan isu-isu semasa sambil berbincang mengenai urusan mahkamah,”ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga banyak menggunakan masa untuk mencatit pendapatnya untuk diserahkan kepada peguam atau keluarga dan dikongsi kepada orang ramai.

“Mungkin akan ada kelewatan sedikit tetapi apa dayanya. Inilah sahaja yang saya dapat buat,” katanya.

Terdahulu, Najib didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta dan telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here