Wanita dengan ihram lelaki persenda Islam, pelakunya menjadi kafir – Mufti Pulau Pinang

0
120
Tangkap layar sebuah video yang tular apabila seorang wanita mengerjakan umrah berpakaian ihram seperti jemaah lelaki.

GEORGETOWN – Tindakan seorang wanita yang didakwa mengerjakan umrah berpakaian ihram seperti jemaah lelaki, disifatkan tidak berakal dan sengaja mempersenda agama Islam.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkat, tindakan itu hanya memudaratkan diri sendiri kerana agama Islam bukan bahan mainan atau sendaan.

“Seorang Muslim dituntut menghormati dan mengagungkan agamanya. Tindakan wanita itu disifatkan sebagai hanya memudaratkan diri sendiri, sedangkan agama Islam sedikit pun tidak terjejas oleh tindakan yang tidak berakal itu.

“Melakukan perbuatan yang berlawanan dengan hukum Islam secara sengaja bererti mempermain-mainkan atau mempersendakan agama. Dengan tindakan sedemikian, pelakunya menjadi kafir. Jika tidak bertaubat dia akan dihumban ke neraka dan akan menerima seksaan yang dahsyat di akhirat nanti,” memetik laporan Bernama hari ini.

Wan Salim berkata, banyak lagi cara untuk mencari populariti, bukan dengan menjadikan agama sebagai bahan mainan atau sendaan kerana itu jelas sekali menghina agama.

“Agama Allah tetap berkembang pesat dari semasa ke semasa. Semakin ramai manusia menganutnya, terutama dalam kalangan ilmuwan dan cerdik pandai dalam pelbagai bidang ilmu dan kerjaya,” katanya.

Semalam, tular video 17 saat seorang wanita yang didakwa sebagai rakyat tempatan berada di Tanah Suci Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya memberi jaminan tindakan tegas akan dikenakan terhadap wanita yang didakwa mengerjakan umrah berpakaian ihram lelaki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here