Warga emas maut, seorang parah kemalangan ngeri di Bukit Sentosa 

0
42
Keadaan kereta mangsa kemalangan di Jalan Sungai Choh menghala ke Bukit Sentosa.

KHULU SELANGOR – Wanita warga emas maut, seorang parah dan lima cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Choh menghala ke Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Mangsa yang maut ialah Rohana Mohd Noor, 66 manakala parah pula ialah Norfarhanah Rahim, 34.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 6.51 petang.

“Sepasukan tujuh anggota bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa dikejarkan ke tempat kejadian.

“Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan sebuah Perodua Axia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas beliau, setibanya di lokasi, anggota mendapati terdapat dua mangsa wanita di dalam salah sebuah Perodua Alza.

“Seorang daripadanya parah manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Selayang dengan EMRS, sementara mangsa meninggal dunia pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi.

Lima mangsa yang cedera ringan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here