YPM sampai sumbangan RM27,060 melalui program CSR Pendidikan Persisir Pantai di Pulau Pinang

0
12
Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM) Datuk Mohd Razman Yaacob (tengah) beramah mesra dengan 25 murid sekolah yang menerima bantuan persekolahan pada Program CSR Pendidikan Persisir Pantai Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Pulau Aman.

NIBONG TEBAL – Yayasan Pelajaran MARA (YPM) menyalurkan sumbangan sebanyak RM27,060 dalam program tanggungjawab korporat sosial (CSR) Pendidikan Persisir Pantai di Pulau Pinang, hari ini.

Pengerusi YPM, Datuk Mohd Razman Yaacob berkata, program itu memfokuskan bantuan pendidikan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dalam golongan B40, khususnya di kawasan Seberang Perai.

““Kita harap usaha murni YPM terhadap sumbangan serta bantuan pendidikan ini dapat membantu pelajar untuk lebih fokus dalam proses pembelajaran serta meringankan bebanan keluarga mereka.

“YPM telah melaksanakan CSR pendidikan di Pulau Pinang sehingga Jun seramai 356 pelajar telah menerima manfaat dengan nilai sumbangan berjumlah RM37,700,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program CSR Pendidikan Pesisir Pantai Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaaan (SK) Pulau Aman hari ini.

Dalam pada itu katanya, YPM komited untuk meningkatkan tahap pendidikan komuniti persisiran pantai menerusi penganjuran lebih banyak CSR.

Beliau berkata, pihaknya telah menganjurkan Program CSR Pendidikan Pesisir Pantai di beberapa lokasi iaitu Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Tawau, Pulau Langkawi, Pulau Tuba dan akan meneruskannya ke Pulau Perhentian dan Tawau dalam masa terdekat.

“Menerusi jelajah kami setakat ini, YPM dapat melihat bahawa realitinya anak-anak di kawasan persisiran pantai, khususnya anak nelayan, masih ketinggalan dalam aspek pendidikan jika dibandingkan dengan anak-anak di kawasan bandar ataupun luar bandar.

“Ini merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh YPM dan agensi-agensi lain untuk membantu mereka ke arah yang lebih ke hadapan dalam bidang pendidikan,” katanya.

Sementara itu katanya, program tersebut selaras dengan hasrat Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mahu melihat anak-anak nelayan meneruskan pendidikan ke arah yang lebih tinggi dan seterusnya meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here