Zaid Ibrahim tuntut penjelasan SPRM, AGC berhubung isu siasatan terhadap Nazlan Ghazali 

0
24
Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim.

PETALING JAYA – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim, menuntut penjelasan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung siasatan yang telah dilakukan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Nazlan Ghazali.

Menurutnya, beliau runsing dengan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang menyatakan kertas siasatan SPRM tidak berada dengan Jabatan Peguam Negara, sambil menyifatkan maklum balasnya kepada media sebagai “tiada jawapan”.

Dalam pada itu, Zaid juga mendesak SPRM menjelaskan sama ada salinan laporan yang dikatakan bocor berhubung siasatan terhadap Nazlan ada kesahihannya.

“Ia terpulang kepada SPRM sekarang untuk mengesah atau menafikan kesahihan itu (dokumen bocor). Ia juga terpulang kepada peguam negara supaya bercakap benar, tiada apa-apa yang tidak benar melainkan yang benar belaka.

“Saya juga ingin mengetahui apa kata benteng besar keadilan, Majlis Peguam, berhubung perkara itu.

“Semua orang perlu menghormati dan menegakkan undang-undang dan bukan melanggarnya,” katanya menurut laporan FMT.

Terdahulu, Idrus tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen yang dikatakan kertas siasatan SPRM yang kononnya bocor membabitkan hakim Mahkamah Rayuan itu.

“Tidak berada dengan kami (kertas siasatan). Saya tidak tahu. Ia tidak berada dengan kami,” katanya ketika ditanya berhubung kesahihan dokumen yang dikatakan bocor itu selepas menghadiri Majlis Simposium Keluarga Malaysia.

Awal minggu ini, blogger berpangkalan di United Kingdom, memuat naik dokumen yang didakwa disediakan SPRM. Dokumen berkenaan mencadangkan SPRM sudah menyelesaikan siasatan terhadap Nazlan dan menghantar laporan kepada Jabatan Peguam Negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here