174 mangsa masih dalam tahanan sindiket pekerjaan luar negara

0
8
Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Sebanyak 174 mangsa rakyat negara ini dipercayai masih terperangkap dalam sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, bermula tahun 2021 hingga 30 September ini, PDRM telah menerima 224 laporan polis daripada ahli keluarga dan kenalan mangsa yang diperdaya sindiket terbabit.

Menurutnya, hasil laporan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara yang diterima polis, seramai 110 orang telah selamat dibawa pulang ke Malaysia.

“PDRM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama Polis ASEAN (ASEANAPOL) dan Polis Antarabangsa (INTERPOL).

“PDRM juga turut terlibat dalam jawatankuasa khas yang diterajui oleh Kementerian Luar Negeri untuk menangani penipuan tawaran kerja luar negara.

“Masyarakat dinasihati supaya lebih berhati-hati terutamanya ketika menerima tawaran-tawaran pekerjaan di luar negara melalui media sosial oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noorsiah turut menasihatkan amat penting untuk semak kesahihan atau ketulenan maklumat majikan dibuat dengan Kementerian Luar Negeri, sebelum terima tawaran kerja di luar negara.

“PDRM mengalukan kerjasama daripada masyarakat untuk melaporkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah sindiket penipuan pekerjaan agar tindakan lanjut diambil,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket dibawa pulang dengan selamat dan usaha sedang dilaksana melalui saluran yang ada bagi tujuan tersebut.

Menurut beliau, kerajaan amat prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat yang terkandas di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand susulan menjadi mangsa sindiket terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here