30 peratus tanah sekolah bermasalah sudah diselesaikan KPM

0
3
Dr. Radzi Jidin

PUTRAJAYA – Sebanyak 30 peratus daripada 2,000 kes pemilikan tanah sekolah yang ‘bermasalah’ di seluruh negara telah diselesaikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin berkata, dianggarkan terdapat 2,000 kes yang mana tanah-tanah sekolah tidak dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan kerana isu berkaitan geran (individu), pembayaran cukai tanah, wakaf dan sebagainya.

“Isu ini isu lama kerana ada tanah yang masih tidak bertukar geran. Apabila ada isu ini, pembangunan tidak dapat dijalankan, jadi sangkut.

“Tapi bila saya masuk ke kementerian, saya lakukan pemutihan dan buat carian ke atas 10,000 sekolah yang ada, kita jumpa 2,000 kes terlibat dan 30 peratus daripadanya sudah pun diselesaikan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dr. Radzi berkata demikian selepas Majlis Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Pendidikan yang Selamat dan Kondusif, di Sekolah Alam Shah, di sini, hari ini.

Masalah itu menurut beliau menjadi antara faktor yang menghalang pelan pembangunan infrastruktur pendidikan yang dirancang kerajaan atau dipohon pihak sekolah tergendala.

“Antara cabaran terbesar adalah pembinaan bangunan baru tapi tanah belum jadi milik Kerajaan Persekutuan.

“Kita ada banyak isu status tanah yang tidak jelas. Kita sedang berusaha melakukan pemutihan tanah-tanah sekolah ini,” katanya.

Justeru, Radzi berkata, KPM akan meneruskan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah berkaitan pemilikan tanah terutama yang sudah tidak mempunyai isu bayaran cukai tanah.

“Ia bagi memastikan semua perkara berbangkit tidak wujud pada masa depan dan pembinaan sekolah serta bangunan baharu dapat dilaksanakan dengan teratur.

“Kita mahu menyusun sistem ini bagi memudahkan perancangan masa depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here