9 pelajar mengaku tidak bersalah buli junior

0
10
9 pelajar yang didakwa atas tuduhan mencederakan pelajar junior sehingga parah di Mahkamah Majistret di sini. FOTO Bernama.

TELUK INTAN – Sembilan pelajar dari sebuah sekolah asrama yang ditahan berhubung kes buli, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang pelajar junior Jun lepas.

Semua pelajar lelaki berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Mereka didakwa secara bersama menyebabkan kecederaan parah ke atas pelajar lelaki berusia 14 tahun di bilik asrama sebuah sekolah menengah di Jalan Changkat Jong, di sini, kira-kira 12.30 tengah malam, 23 Jun lepas.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azalea Sharmeen Zaizan, manakala semua remaja berkenaan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, S Francis.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 5 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Pada 23 Jun lepas, polis menahan 10 pelajar senior kepada mangsa, selepas menerima laporan berhubung kes itu pada hari sama. -BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here