Akademi Raja Azrey tawar pembangunan bakat lakonan

0
14
Penyerahan kontrak pementasan teater 7 Wahyu kepada Raja Azrey (kanan) oleh Datuk Seri Shariff Nur Muhammad Al-Aydrus (tengah) bersama Datuk Seri Irwan Iskandar Shah di Kajang, baru-baru ini.

KAJANG – Penularan pandemik Covid-19 yang memberi kesan besar terhadap pemain dalam industri perfileman membuka lembaran baharu kepada pengarah, Raja Azrey Raja Kamaruzzaman.

Bagi pelakon filem Blok 404 itu, walaupun peluang dalam bidang perfileman terjejas, beliau tidak pernah tunduk kepada cabaran demi minat yang sudah menjadi darah dagingnya.

Ketika peluang untuk berlakon dan menghasilkan karya mula menyempit, Raja Azrey tetap mengintai peluang-peluang yang masih boleh diterokainya.

“Apa yang saya boleh katakan saya sangat bersyukur walaupun Covid-19 benar-benar menguji kita semua di lapangan seni.

“Berkat kegigihan, rezeki saya masih ada antara rakan-rakan artis yang lain bertungkus-lumus sepanjang tempoh itu, bahkan sehingga sekarang.

“Alhamdulillah Allah berikan saya kesungguhan untuk terus belajar dan berkat beberapa kebolehan yang saya ada dalam teater, pengarahan, penyuntingan dan penulisan skrip, saya masih survive,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Akademi Raja Azrey dan Majlis Menandatangani Kontrak Pementasan Teater 7 Wahyu di sini, baru-baru ini.

Raja Azrey berkata, sepanjang tempoh dan pasca pandemik, beliau lebih banyak memberi tumpuan kepada penganjuran kelas lakonan untuk mendidik bakat-bakat baharu.

“Usaha ini bermula pada penghujung 2019 yang mana saya buka beberapa siri kelas di Kedah dan Kuala Lumpur untuk mendidik peserta dalam bidang lakonan.

“Sebenarnya ia lebih kepada memberi bimbingan asas, persediaan, kemahiran komunikasi, psikologi dan berkongsi selok belok dunia lakonan,” katanya yang telah memberi bimbingan kepada lebih 450 peserta melalui akademinya.

Raja Azrey Raja Kamaruzzaman

Menjelaskan lebih lanjut, peserta yang menamatkan latihan tidak terikat dengan sebarang kontrak malah bebas untuk ‘melangkah’ ke mana sahaja cerok industri.

“Saya bukan ejen bakat. Saya sekadar mengajar mereka melalui dua sesi kelas (2 hari) iaitu teori dan praktikal untuk mereka berdepan cabaran sebenar.

“Saya bukanlah sesiapa yang terlalu hebat dalam bidang ini tapi saya kongsikan pengalaman sebenar saya yang mungkin berguna untuk bakat-bakat baharu,” ujar pengasas Kumpulan teater Geliga Merah Opera (GMO) itu.

Katanya, sesi pertama bermula dengan teknik lakonan, intonasi dialog, mengenal teknikaliti dalam shot, bacaan skrip dan keperluan asas sebagai pelakon.

Pada sesi kedua pula adalah sesi praktikal di set penggambaran yang mana peserta akan diberikan peluang untuk berlakon dalam drama pendek yang dihasilkan.

“Kesemua peserta akan diberikan watak berdasarkan kebolehan mereka. Mereka akan diuji, ditegur dan dimarah untuk betulkan kesilapan.

“Kesemua drama yang dihasilkan itu nanti akan dipapar di saluran Youtube “rajaazreytvchannel” sebagai rujukan atau profil mereka,” katanya yang telah menghasilkan 10 drama sepanjang 3 tahun lalu.

Barisan peserta kelas latihan lakonan Akademi Raja Azrey yang hadir pada majlis pelancaran akademi itu, baru-baru ini.

Menurut Raja Azrey, kursus lakonan yang telah diadakan di Baling, Gurun dan Cheras itu mengenakan yuran penyertaan sebanyak RM350.

Pada majlis itu juga, satu persetujuan di antara Akademi Raja Azrey, ditandatangani dengan Mayrose Empire Sdn. Bhd. selaku penyalur dana berjumlah RM1.5 juta kepada akademi milik Syarikat Pondok Karya Kreatif itu untuk tujuan pembangunan latihan.

Dengan persetujuan ini juga, satu usahasama pementasan teater 7 wahyu akan berlangsung diantara Pertubuhan Rangkaian Pembangunan Pendidikan Dan Sosial Malaysia dengan Geliga Opera Merah dan Mayrose Empire

Projek itu akan menampilkan keterlibatan sebahagiannya dari peserta-perserta Akademi Raja Azrey serta karya ideologi dakwah dari Rumah Adat Waris Keturunan Baginda Rasullullah SAW yang dipimpin oleh Datuk Seri Shariff Nur Muhammad Al-Aydrus pada November ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here