Azmin Ali wakili PM hadiri pengebumian Shinzo Abe

0
15
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

CYBERJAYA – Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijadualkan akan menghadiri upacara pengebumian negara untuk mendiang bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe di Nippon Budokan, Tokyo, esok.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Mohamed Azmin akan mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kenyataan itu menyebut, Mohamed Azmin akan diiringi oleh pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sewaktu upacara itu.

“Upacara itu juga merangkumi sesi pertemuan bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Hirokazu Matsuno dan Menteri Luar Yoshimasa Hayashi.

“Ia disusuli pertemuan ringkas bagi menyampaikan ucapan takziah isteri Abe, Akie Abe, di Akasaka Palace, Tokyo,” katanya.

Abe, 67, yang juga perdana menteri paling lama berkhidmat di Jepun, ditembak ketika berkempen dalam satu insiden pada Julai lalu.

Media tempatan melaporkan, Abe rebah selepas terkena tembakan pada bahagian leher sebelum meninggal dunia beberapa jam kemudian di hospital.

Beliau berusia 52 tahun ketika dipilih menjadi perdana menteri pada 2006, iaitu yang termuda memegang jawatan itu selepas era perang, namun terpaksa meletak jawatan kerana masalah usus.

Pengebumian negara yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan dilakukan secara terbuka akan diadakan pada 27 September ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here