Bajet 2023 dijangka tumpu usaha bantu peniaga, pembayar cukai individu

0
11
Dr. Mohd. Nizom

CYBERJAYA – Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt depan dijangka menumpukan usaha membantu golongan peniaga dan pembayar cukai individu berikutan keadaan ekonomi negara yang kini berada dalam proses pemulihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr. Mohd. Nizom Sairi berkata, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka membuat pengumuman dalam bentuk insentif atau pelepasan cukai berdasarkan keadaan serta keperluan semasa pembayar cukai.

“Kerajaan juga memerlukan hasil cukai yang lebih supaya dapat berbelanja untuk kepentingan rakyat.

“Oleh itu perlu ada keseimbangan, tidak memberi pelepasan yang (sebaliknya) menyebabkan program pembangunan negara tidak dapat dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Akademi Percukaian Malaysia (APM), di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Nizom berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran hasil kutipan cukai langsung melebihi RM139.3 bilion tahun ini, selaras dengan perkara digariskan dalam Bajet 2022 susulan perkembangan positif ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Jelas beliau, LHDN kini di landasan untuk mencapai sasaran Bajet 2022 memandangkan kini di suku terakhir.

“Ini petanda bahawa pertumbuhan ekonomi adalah seperti dijangkakan kerajaan. Keadaan semasa dari segi sumbangan perniagaan dan individu kepada percukaian juga menunjukkan negara di landasan tepat untuk proses pemulihan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dapat membantu meningkatkan hasil cukai negara, Mohd Nizom berkata, sistem percukaian itu adalah di dalam kategori cukai tidak langsung dan bukan di bawah LHDN.

Bagaimanapun beliau berkata, GST ketika ini dalam peringkat kajian dan tidak dapat dipastikan adakah hasil kajian itu akan memungkinkan kerajaan membuat keputusan memperkenalkan semula rejim cukai berkenaan atau tidak.

“(Ia) sesuatu dalam kajian, tidak tahu ia akan kembali atau tidak. Kalau kajian itu didapati bagus mungkin akan ada keputusan. Kalau tidak, mungkin akan kaji semula atau tangguh ikut keadaan,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here