Banjir Baling : 130 penduduk masih di PPS

0
10
Keadaan Sungai Kupang yang melimpah menyebabkan banjir kilat di dua mukim di daerah Baling malam tadi.

BALING – Seramai 130 daripada 37 keluarga mangsa banjir di daerah ini masih berada di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga jam 7 pagi ini.

Penempatan sementara itu adalah susulan beberapa kawasan penduduk dinaiki air setinggi kira-kira satu meter ekoran hujan lebat sejak malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan Muhammad Ayob Abdul Aziz berkata, semua mangsa kini ditempatkan di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang dan PPS Dewan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus.

“Sebanyak 96 mangsa daripada 31 keluarga berada di PPS Kampung Padang Empang manakala 34 mangsa daripada 6 keluarga di PPS Dewan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus.

“Kesemua mangsa diarahkan berpindah selepas air masuk ke rumah penduduk pada paras 1 meter dan dibimbangi akan terperangkap dengan cuaca gelap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Banjir di kawasan tersebut berlaku selepas air Sungai Kupang mula melimpah ekoran hujan lebat bermula 5 petang semalam.

Katanya, sebagai langkah keselamatan, penduduk di beberapa buah kampung berhampiran aliran sungai berkenaan antaranya Kampung Bendang Padang, Taman Bayu Sejahtera dan, Kampung Sungai Batu diminta berwaspada.

“Setakat ini tiada laporan kehilangan ahli keluarga diterima,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here