Bayaran Fasa 3 dan Rayuan BKM dibuat mulai 20 September ini – PM

0
53
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Pembayaran bagi fasa tiga dan Rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai Selasa ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan itu akan dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai pada 27 September ini.

“Pembayaran berjumlah RM2.2 bilion ini akan memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima yang terdiri daripada penerima BKM sedia ada kategori isi rumah, warga emas bujang/tiada pasangan dan bujang serta mereka yang telah lulus Rayuan BKM.

“Untuk BKM fasa ini, setiap penerima BKM sedia ada bakal menerima sehingga RM900,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, lebih daripada 80,000 penerima telah diluluskan Rayuan BKM dan akan menerima sehingga RM2,350 mengikut kategori kelayakan masing-masing termasuk Bantuan Tunai Tambahan yang diumumkan kerajaan pada Jun yang lepas.

“Sehingga September 2022, sebanyak RM5.9 bilion telah disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran yang telah ditetapkan dan masih terdapat bayaran fasa empat berjumlah RM2.1 bilion yang akan disalurkan kepada mereka yang layak pada Disember 2022.

“Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 20 September 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan kekal komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar dengan aspek jaringan keselamatan sosial akan terus diberi tumpuan di dalam Bajet 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here