Miliki koleksi lebih setengah juta ringgit kumpul mainan ‘Power Rangers vintage’ 

0
230
Thareq Ariffin Mohd Tajmi, 37, bersama ratusan permainan yang dikumpulnya.

CYBERJAYA – Bermula dengan hanya sekadar hobi, seorang pemuda telah berjaya mengumpul lebih 1,000 buah pelbagai jenis permainan dengan nilai keseluruhan koleksi bernilai lebih RM500,000.

Menurut Thareq Ariffin Mohd Tajmi, 37, dia mula serius mengumpul mainan sejak menamatkan pengajian di universiti pada tahun 2015.

Katanya, idea untuk menjual mainan ‘vintage’ itu datang selepas dia menjadi pengumpul dan mempunyai lebihan mainan dalam koleksinya.

“Sebagai seorang pengumpul mainan yang kita beli adalah dalam kuantiti yang besar atau dalam bentuk ‘bundle’ jadi ada lebihan mainan yang saya tidak kumpul sebagai koleksi dan lebihan mainan itu akan saya jual.

“Contohnya, saya import mainan ini dari luar negara dalam kuantiti yang banyak dan ada kawan yang nak beli sekali jadi saya akan kongsi yuran penghantaran mainan tersebut dengannya,” katanya kepada Malakat Tribune.

Thareq Ariffin yang juga membuka reruai di Malakat Mall pada setiap hujung minggu berkata, dia lebih fokus kepada pengumpulan mainan ‘Power Rangers’ dan ‘Super Sentai’ dari era 70-an hingga kini.

Katanya, ini kerana koleksi permaian tersebut semakin sukar dijumpai di pasaran Malaysia dan luar negara.

“Saya fokus dekat koleksi Super Sentai, Power Rangers dari Jepun yang mana mainan ini didatangi sekali dengan kotak dalam erti kata lain, mainan itu lengkap.

Sekitar ruang pameran permainan di rumahnya.

“Robot yang mahal pula kebanyakannya datang dari tahun 1970-an dan 1980-an dan harga satu biji mainan tersebut dalam lingkungan RM1,000 ke RM5,000 bergantung kepada keadaan mainan tu sendiri sama ada dilengkapi dengan kotak atau tidak,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, penetapan harga mainan pula adalah berdasarkan harga semasa di pasaran antarabangsa.

“Pasaran bagi mainan vintage ini bukan hanya di dalam Malaysia dekat luar negara pun orang kumpul juga macam di Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Thailand dan Indonesia,” katanya.

Ditanya mengenai perancangannya pada masa hadapan, dia berhasrat dapat membuka sebuah kedai dan galeri mainan untuk dipamerkan kepada umum kerana terdapat mainannya yang tidak dijual di Malaysia.

“Sebagai seorang pengumpul dan penjual saya memang ada niat untuk membuka sendiri kedai saya dan juga galeri mainan saya sendiri.

“Macam saya dulu waktu baru nak mula mengumpul kalau saya tak dapat beli tapi dapat tengok pun dah kira sebagai satu kepuasan buat diri saya.

“Saya nak orang tengok dan kagum mainan itu ada di Malaysia sebab ada setengah mainan itu tiada di Malaysia hanya ada di luar negara jadi bila mereka tahu mainan itu ada di Malaysia mesti mereka akan kagum,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here