BNM arah semua bank beralih dari gunakan sistem permesejan OTP

0
52

KUALA LUMPUR – Semua institusi kewangan diarah beralih daripada sistem SMS ‘one time password’ (OTP) kepada sistem yang lebih selamat untuk pengesahan transaksi dalam talian, sebagai satu usaha menangani penipuan dalam talian.

Gesaan itu antara langkah diumumkan Bank Negara (BNM) bagi meningkatkan keselamatan terhadap penipuan kewangan, ekoran peningkatan jenayah siber di Malaysia dan seluruh dunia.

“Ini adalah satu perkembangan yang membimbangkan dan BNM memandang serius, lebih-lebih lagi kes ini membabitkan penipuan kewangan,” kata Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian pameran maya Jenayah Kewangan: Semak Sebelum Diperdaya anjuran Muzium dan Galeri Seni BNM.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Kata Nor Shamsiah, buat masa ini, beberapa bank utama telah mula bertukar daripada sistem OTP untuk aktiviti dalam talian dan transaksi membabitkan pembukaan akaun, pemindahan dana, pembayaran serta perubahan pada maklumat peribadi dan tetapan akaun.

“Kedua, institusi kewangan akan terus memperketatkan peraturan pengesanan penipuan dan segera menyekat transaksi yang disyaki ada unsur penipuan. Pelanggan akan segera dimaklumkan sekiranya ada aktiviti seperti itu melibatkan akaun mereka.

“Sebagai langkah tambahan, institusi kewangan akan menyekat transaksi seperti itu dan pelanggan akan diminta mengesahkan ketulenan transaksi berkenaan terlebih dahulu sebelum disekat,” katanya.

Langkah lain termasuk tempoh bertenang untuk pendaftaran baru perkhidmatan perbankan atau pertukaran peranti baharu, di mana tiada aktiviti perbankan dalam talian dibenarkan.

Pelanggan juga dihadkan kepada hanya satu telefon atau peranti untuk pengesahan transaksi dalam talian.

Institusi kewangan juga perlu mewujudkan satu talian “hotline” untuk pelanggan melaporkan penipuan kewangan.

“Institusi kewangan diarahkan untuk lebih responsif terhadap laporan penipuan yang dibuat pelanggan.

“Mereka juga diarahkan untuk membantu usaha mendapatkan kembali dan melindungi dana yang dicuri termasuk bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengelak lebih banyak kerugian,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here