Dakwaan kelucahan melampau, bapa pelakon remaja direman tujuh hari

0
33

CYBERJAYA – Bapa kepada seorang pelakon remaja yang didakwa melakukan kelucahan melampau terhadapnya direman sehingga 12 Sept selepas ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan pada pukul 2.45 petang semalam dengan polis turut merampas sebuah telefon bimbit miliknya.

“Saringan air kencing ke atas OKT (orang kena tuduh) adalah negatif serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“OKT direman sehingga 12 Sept untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kandungan telefon bimbit suspek akan dianalisis Jabatan Forensik polis.

Laporan Sinar Harian semalam menyebut, pelakon remaja berusia 15 tahun itu membuat pendedahan yang mendakwa pernah diajak bapanya menonton filem lucah bersama, selain mendakwa pernah beberapa kali diraba lelaki itu.

Sementara itu, Wan Azlan berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 kerana mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memiliki bahan lucah, kata laporan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here