Dari bingit Death Metal ke pentas dakwah, penghijrahan Derry Sulaiman

0
61
Derry Sulaiman ketika menyampaikan tazkirah Zohor di Malakat Mall, Cyberjaya hari ini. FOTO Amir Afiq Jamaludin

CYBERJAYA – Derry Sulaiman bukan nama yang asing dalam lingkung muzik Indonesia, khususnya bagi peminat-peminat genre Death Metal.

Selepas lama bergelumang dengan irama keras dan bingit, bekas pemain gitar kumpulan Betrayer itu kini lebih dikenali dengan lagu-lagu bertema keislaman dan dakwah.

Terkini, beliau berada di Malaysia dalam misi dakwah dan mengumpul dana pembangunan sebuah masjid di Indonesia. (Ikuti video Malakat Tribune) https://www.youtube.com/watch?v=4lsfbRhCWR0

Menariknya, kisah penghijrahan Derry tidak sama seperti kebanyakan artis. Walaupun sudah bergelar pendakwah, beliau mengakui masih tidak berpisah dengan muzik Metal yang begitu sebati dengan dirinya.

“Boleh metal, tapi solatnya jangan ditinggalkan. Saya masih lagi ‘Anak Metal’ dan bermain muzik itu sampai hari ini.

“Tidak salah kerana itulah laluan saya untuk mendekati anak-anak Metal yang lain dan itu juga mungkin kelebihan yang diberikan Allah kepada saya.

“Selagi saya tahu membezakan yang mana baik dan batil. Itu tidak menjadi masalah walaupun saya pasti ramai yang berbeza pandangan,” katanya kepada Malakat Tribune selepas Tazkirah Zohor di Malakat Mall, hari ini.

Derry (kanan) ketika menganggotai kumpulan Betrayer.

Menceritakan penghijrahannya dari pentas konsert ke mimbar ceramah, Derry mengakui dirinya sendiri tidak pernah menyangka bahawa kehidupannya akan bertukar 360 darjah selepas mendalami Islam.

Bahkan Derry atau nama sebenarnya Deri Guswan Pramona berkata, rakan-rakan dan orang sekelilingnya juga tidak menjangkakan perubahan yang berlaku pada dirinya.

“Saya ceritakan ini (dirinya) bukan sesuatu yang baharu di Indonesia, tapi masih tidak diketahui di Malaysia kerana orang tidak mengenali saya.

“Dahulu idola saya adalah Metallica dan sebagainya, kini idola saya adalah Rasulullah.

“Begitu banyak yang berubah, daripada seorang yang berambut dreadlock kepada insan yang berjubah dan berserban,” kata anak Sumatera yang berhijrah ke Bali untuk bermain muzik.

Derry Sulaiman yang kini dikenali dengan lagu-lagu bertemakan dakwah dan keislaman. -petikan MV di Youtube

Katanya, walaupun pernah bergelar seorang Metalhead tegar suatu ketika dahulu, hidayah dan dakwah yang diturunkan Allah tidak pernah melencong bahkan datang dalam saat yang tidak dijangka-jangka.

Begitu menakjubkan katanya, dakwah dan peluang untuk mendalami Islam itu tiba kepadanya ketika beliau sedang membuat persembahan di sebuah pub di Bali.

“Bayangkan saya berada di tempat yang paling ‘gelap’ dalam hidup ketika itu. Bertahun-tahun saya tidak melihat matahari kerana hanya ‘hidup’ pada sebelah malam dan tidur di siang hari.

“Di disko di Bali, saya didatangi kumpulan dakwah/ tabligh. Mereka mengajak saya ke masjid untuk berkenalan. Saya terlanjur katakan ‘insyallah…’ perkataan yang begitu jarang keluar dari mulut seorang Metalhead.

“Sebagai anak Metal, tiada alasan untuk saya mungkir. Maka saya bertemu mereka dan ternyata dakwah itu mengubah saya,” katanya yang juga pernah menganggotai kumpulan Born By Mistake.

Selepas mengenal Islam dan tersentuh dengan keindahan yang berlaku dalam hidupnya, Derry pernah bertekad untuk meninggalkan terus minat dan komuniti muziknya, namun ditegah oleh gurunya sendiri.

“Guru saya sendiri melarang saya kerana sebagai seorang Islam, tanggungjawab saya adalah untuk berdakwah kepada mereka di dunia underground.

“Sejak itu saya mula aktif memberi ceramah apabila ada konsert atau gig,” katanya.

Derry yang popular dengan lagu bertajuk ‘Dunia Sementara Akhirat Selamanya’ berkata, beliau akan melancarkan satu lagi album metal melalui kumpulan baharunya, No More Betrayer tidak lama lagi.

Bagi Derry, pendakwah sepatutnya mendekati semua kumpulan masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka kerana tanggungjawab hidayah itu terletak pada Allah dan bukannya milik manusia.

“Jangan sesekali menilai siapa di depan kita kerana rupa mereka. Kerana di akhirat kelak, Allah akan tunjukkan kita siapa yang terkesan daripada tindakan kita.

“Seperti cahaya, dakwah tidak kalah kepada kegelapan,” katanya mengakhir perbualan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here