Dipaksa jadi buruh paksa di luar negara, kerajaan digesa campur tangan, bantu mangsa sindiket penipuan 

0
56
Presiden Pertubuhan Kepertihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan (tiga dari kanan) bersama wakil keluarga mangsa sindiket penipuan hadir ke Pejabat Perdana Menteri bagi menyerahkan memorandum untuk kerajaan membantu menyelasaikan isu sindiket penipuan. Kredit foto – Najmi Zulkefle.

PUTRAJAYA – Kerajaan digesa untuk mengambil tindakan yang tegas bagi menyelamatkan mangsa-mangsa sindiket penipuan yang terperangkap di beberapa buah negara Asia Tenggara.

Menurut Presiden Pertubuhan Kepertihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menggunakan saluran ASEAN untuk membantu mereka dengan mengaadakan perbincangan bersama ketua-ketua negara yang terlibat.

“Jenayah ini merupakan satu jenayah yang tidak berperikemanusian kerana bukan sahaja melibatkan penipuan dan paksaan untuk bekerja menjadi buruh paksa malah jenayah ini berkaitan dengan perdagangan manusia.

“Jadi saya minta pihak kerajaan untuk campur tangan dengan menggunakan platform ASEAN yang mana ketua-ketua negara negara ini perlu dipanggil dan diberitahu sendiri oleh Perdana Menteri mengenai masalah yang berlaku di negara mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyerahkan memorandum menuntut campur tangan kerajaan berkaitan isu tersebut di hadapan Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini.

30 orang wakil ahli keluarga mangsa penipuan hadir ke Pejabat Perdana Menteri bersama ahli-ahli badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyerahkan memorandum untuk kerajaan membantu menyelasaikan isu sindiket penipuan itu. Kredit foto – Najmi Zulkefle.

Memorandum berkenaan telah diserahkan kepada Setiausaha Politik 3 Perdana Menteri, Khairulnizam Mohd Zudin.

Mengulas dengan lebih lanjut, Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara menyarankan, kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga dengan melarang mereka yang berumur 40 tahun dan ke bawah untuk memasuki negara berkenaan.

“Mereka boleh diculik di sana, diugut untuk dijual organ mereka dan ada juga yang dipaksa untuk menjadi pelacur,” tegasnya lagi.

Tambahnya lagi, beliau sudah menghubungi Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil tindakan terhadap isu ini dengan menggunakan saluran ‘ASEAN Desk’ yang membolehkan pihak polis berhubung dengan wakil polis daripada negara-negara ASEAN.

Terdahulu, seramai 30 orang wakil ahli keluarga mangsa penipuan berkenaan hadir ke Pejabat Perdana Menteri bersama ahli-ahli badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyerahkan memorandum untuk kerajaan membantu menyelasaikan isu sindiket penipuan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here