Dipaksa makan daging babi, diacu pistol, rakyat Malaysia cerita pengalaman hampir dibunuh di Kemboja 

0
56
Penyerahan memorandum kepada Kedutaan Laos oleh wakil pelbagai NGO dan keluarga mangsa sindiket penipuan di sini, ini. Kredit foto – Najmi Zulkefle 

KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia berjaya meloloskan diri dari Kemboja selepas hampir dibunuh dan diperlakukan seperti ‘binatang’ oleh sindiket penipuan dan pemerdagangan manusia yang beroperasi di negara berkenaan.

Menurut Othman (bukan nama sebenar), dia yang menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan pada mulanya ditawarkan peluang untuk bekerja di sana oleh seorang kenalannya.

“Saya ikut kawan saya, dia tawarkan saya kerja tu sebab dapat duit banyak dan bila ikut sampai sana (Kemboja) baru dia beritahu yang itu adalah sindiket penipuan.

“Bila saya minta untuk pulang ke Malaysia mereka minta bayaran AS$15,000 (RM60,000) sebagai wang tebusan dan barulah saya boleh balik.

“Mereka pukul saya tanpa belas kasihan, mereka tekapkan benda panas dekat saya, mereka gari saya dan hampir nak potong jari saya,” katanya dalam satu sidang media di hadapan Kedutaan Laos di sini, hari ini.

Terdahulu, usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa buah negara ASEAN diteruskan dengan penyerahan memorandum di Kedutaan Laos di sini, hari ini.

Walaubagaimanapun, penyerahan memorandum tersebut tidak mendapat maklum balas positif daripada Kedutaan Laos kerana tiada wakilnya yang keluar untuk menerima memorandum itu.

Tambah Othman lagi, dia juga melihat sendiri dua orang perempuan berbangsa Melayu berumur 17 dijadikan hamba seks oleh sindiket penipuan berkenaan.

“Saya nampak dua orang rakyat Malaysia perempuan umur 17 tahun telah dilacurkan. Saya nampak mereka dipaksa untuk menghisap kemaluan dan dadah syabu secara paksaan,” katanya.

Menceritakan detik hampir dibunuh sindiket itu, Othman berkata, dia telah diacukan pistol namun bernasib baik apabila menerima panggilan daripada ejennya yang meminta dia ditukarkan ke tempat lain dan berjaya melarikan diri ke Kedutaan Malaysia.

“Mereka acu pistol dan dah siap gali lubang untuk tanam saya. Nasib baik umur saya masih panjang ejen saya telefon untuk hantar saya ke tempat lain.

“Mereka hantar ke satu hotel dan dari situ baru saya dapat larikan diri. Saya berjumpa dengan seorang mualaf dan mereka bagi saya tumpang rumah mereka. Selepas beberapa hari mualaf itu bawa saya ke kedutaan dan barulah saya diselamatkan,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here